
Sejak kempen pemulauan barangan Yahudi dan Amerika Syarikat dipraktikkan beberapa bulan lalu ekoran pencerobohan tentera Israel ke wilayah Gaza di Palestin, rasanya pemulauan itu turut meliputi filem dan siri TV Amerika. Namun untuk memulaukan keseluruhan barangan mereka sudah tentulah sangat sukar walaupun tidak mustahil. Tetapi, sekiranya diamat-amati, hampir mustahil juga. Perisian-perisian dan perkakasan komputer amat banyak mengandungi saham Yahudi. Maka sebab itulah saya katakan hampir mustahil.
Masih ingat lagikah filem Fitna, yang 'mempromosikan unsur negatif' umat Islam? Kutukan demi kutukan ke atas filem ini secara langsung tetapi mungkin tidak sengaja, telah berjaya mengangkat populariti pengkaryanya yang anti-Islam. Jadi, saya seboleh-bolehnya tidak mahu turut sama mempromosikan sesuatu yang hanya akan menggalakkan lebih ramai orang menonton siri TV ataupun filem yang menggambarkan keganasan agama.
Walau bagaimanapun, untuk ulasan siri TV ini, biarlah saya berkongsi sesuatu dan saya pulangkan penilaiannya kepada individu. Mungkin ia boleh dijadikan isi perbincangan yang membuka minda.
Siri TV "Lie to Me" yang mula disiarkan pada awal tahun 2009 ini, menarik perhatian saya tatkala siri TV fiksyen sains lain hampir sampai ke garisan penamatnya. Lie to Me bukanlah siri TV fantasi rekaan semata-mata, sebaliknya ia berdasarkan penemuan saintifik sebenar dalam bidang psikologi yang melibatkan daya tipu seseorang. Sememangnya setiap permulaan episod-episod Lie To Me akan memaparkan "disclaimer" yang menyatakan bahawa watak dan jalan cerita adalah fiksyen semata-mata dan tiada kaitan dengan individu mahupun perisitiwa sebenar. Pun demikian, isi kandungannya yang berdasarkan fakta penemuan saintifik mampu memberikan pengetahuan baru dalam bidang psikologi.
Siri ini menampilkan watak utama Dr Cal Lightman - seorang ahli psikologi yang pakar dalam bahasa pergerakan tubuh badan terutama "microexpression", yang juga merupakan pengasas The Lighman Group. Ia adalah sebuah syarikat swasta yang beroperasi secara "independent contractor" yang sering membantu agensi kerajaaan dalam penyiasatan yang memerlukan kemahiran psikologi. Rakan kongsi Dr Lightman; Dr Gillian Foster, juga seorang pakar dalam bidang yang sama. Pada kebiasaannya mereka akan mengendalikan 2 kes serentak secara berasingan, dibantu oleh ank didik masing-masing - Eli Loker dan Ria Torres, dan yang terbaru dalam pasukan ialah Ben Reynolds - seorang agen FBI.
Kemahiran psikolgi yang dimiliki oleh ahli-ahli The Lightman Group ini bukanlah kemahiran tipikal seperti kebolehan berunding untuk kes-kes penculikan. Sebagaimana judulnya, siri ini membongkar dan mentafsir "microexpression" - sejenis ekspresi wajah yang terhasil apabila seseorang itu cuba berbohong untuk melindungi sesuatu. "Microexpression" ini merupakan lintasan ekspresi wajah yang berlaku pada kadar masa yang amat singkat, adakala ia mengambil masa kurang daripada satu saat. Inilah kelebihan Dr Lightman dan ahli pasukannya dalam membongkar pelbagai jenis kes; dari kes pembunuhan, pembunuhan bersiri "copycat", hingga ke kes misi penyelamatan.
Amat mengujakan apabila pelbagai pengetahuan mentafsir ekpresi wajah diperolehi dari siri TV seperti ini. Namun, apabila tiba ke episod ke-13, saya terus tersentap dan tersentak. Minat menontonnya terbantut. (Dan kebetulan belum ada lagi episod lain selepasnya).
Episod ke-13 yang berjudul "Sacrifice" dimulakan dengan paparan kehidupan seorang muslim yang bermula pada awal pagi, tetapi nampaknya sudah agak terlewat daripada waktu Subuh. Daripada biasan cahaya matahari yang masuk melalui tingkap, waktu tersebut kelihatan seperti menjelang ke waktu Dhuha. Diperlihatkan watak si muslim ini mengambil wuduk dan menunaikan solat. Dari sini jelaslah pada saya yang pihak penerbit Lie to Me dan juga penulis skripnya tidak menjalankan kajian yang baik. Si pemuda muslim sekadar berseluar pendek - pendeknya di atas paras lutut, ketika mengerjakan solatnya. Memang kesemua mazhab sunni mengesahkan aurat lelaki ialah dari pusat ke lutut, tapi seluar pendek pemuda ini sememangnya tidak cukup untuk menutup daerah aurat tersebut ketika melaksanakan ibadahnya. Caranya berwuduk juga nampak sangat ada yang tidak kena.
Plot seterusnya memaparkan pemuda ini dihalang daripada menaiki sebuah bas oleh si pemandu bas yang bersikap pilih bulu (atau mungkin juga "rascist" terhadap Muslim). Bagai sudah ditakdirkan, baru sahaja beberapa meter bas tersebut bergerak meninggalkan si pemuda, satu letupan dahsyat berlaku dari bas itu yang membunuh kesemua penumpang bas (termasuklah si pemandu rascist). Letupan kedua di sebuah kompleks membeli-belah pada hari yang sama telah menggemparkan keseluruhan bandar. Kedua-dua letupan dikenalpasti sebagai "suicide bombing" yang dilakukan oleh siapa lagi kalau bukan mujahid Islam.
Letupan-letupan ini sangat menyusahkan keseluruhan bandar - agaknya lebih dahsyat daripada kekejaman tentera Israel ke atas umat Islam di Palestin. Kanak-kanak hinggalah orang dewasa tidak lagi berasa selamat di mana saja mereka berada. Ya, memang itulah agaknya yang hendak digambarkan oleh pihak di sebelah sana tentang Islam dan penganutnya, walaupun mereka secara bermurah hati telah memperlihatkan betapa saudara terdekat kepada "suicide bomber" juga menjadi mangsa malapetaka yang sama.
Kecekapan dan kebolehan pasukan Dr Lightman akhirnya berjaya membawa kepada pembongkaran dalang siri letupan ini - seorang pemuda Islam yang fanatik dan fundamentalis tentunya. Bagaimanakah kedua-dua letupan tersebut dilakukan? Bukan melalui cara biasa yang mana tubuh mujahid dibaluti dengan bom. Sebaliknya cara yang lebih pintar digunakan, iaitu melalui tabung kutipan derma yang tidak akan mengundang syak sesiapa sahaja.
Hmm, kejahatan yang diselindungkan melalui alat yang digunakan untuk bersedekah. Ingenious!
























